Selasa, 31 Ogos 2010

TRANSFORMASI MINDA DAN TINDAKAN MENJAMIN KECEMERLANGAN

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-53 kepada semua guru, semua staff bukan akademik dan semua murid SK Obah Beluran. Sebagai rakyat Malaysia yang baik dan mengenang budi, sudah semestinya kita rasa bersyukur kerana dilahirkan, dibesarkan dan mengecapi kebahagiaan dalam sebuah negara yang merdeka dan makmur.  Walaupun saya tidak dapat bersama dengan rakan-rakan seperjuangan yang dihormati dan murid-murid yang dikasihi, namun hati dan semangat KeMalaysiaan saya tetap bersama anda semua. Menghayati maksud dan nikmat kemerdekaan, bukanlah setakat kita menganjurkan dan melakukan aktiviti bersama-sama, tetapi yang tidak kurang pentingnya juga ialah kita dapat merasakan denyutan yang sama, keghairahan yang sama, rasa bersyukur yang sama dan semangat yang serupa untuk menterjemahkan rasa syukur itu dalam bentuk kata-kata mahupun tindakan. Secara jujur, agak janggal dan ganjil bagi saya tidak merayakan Hari Kemerdekaan Malaysia tanpa berada di tengah-tengah rakan seperjuangan, murid-murid dan ibu bapa murid. Mungkin kerana kita telah melakukan aktiviti bersama-sama selama bertahun-tahun pada pagi 31 Ogos. Segar lagi dalam ingatan, awal pagi 31 Ogos dah bangun dan siapkan dewan atau bilik tempat berkumpul dan set semua peralatan elektronik untuk menyaksikan Siaran Langsung Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia. Justeru, apabila saya berada di luar, pastilah rasa janggal dan macam ada kekurangan. Pagi ini, saya menyaksikan siaran langsung sambutan dari Stadium Putra Bukit Jalil bersama anak-anak saya di rumah. Saya tidak dapat memisahkan ingatan saya terhadap wajah-wajah ceria dan penuh semangat murid-murid SK Obah. Saya berharap tahun hadapan 2011, kita akan dapat merayakan sambutan kemerdekaan bersama-sam seperti tahun-tahun yang lalu.

Sesuai dengan tema sambutan pada tahun ini, 1Malaysia Menjana Transformasi, maka saya mengajak rakan-rakan guru dan rakan-rakan bukan guru untuk membuat transformasi minda dan tindakan. Transformasi minda amat perlu supaya apa juga dasar yang dilaksanakan kerajaan dan KPM, kita akan menyambut dan melaksanakannya sebagai tugas dan tanggungjawab terhadap negara. Sebagai pelengkap kepada transformasi minda, wajar sangat kita melakukan transformasi dalam tindakan kita. Transformasi tindakan adalah berkaitrapat dengan cara kerja kita. Apabila kita mengajar di bilik darjah atau luar bilik darjah, kita harus mengajar kerana kita mahu melihat anak murid kita pandai dan mengamalkan ilmu yang dipelajarinya dalam kehidupan seharian. Sebelum kita mengajar, kita harus merancang pengajaran kita dan mengajar berdasarkan perancangan itu secara bijaksana. Apabila kita hendak melakukan sesuatu aktiviti, kita harus set fokus akktiviti itu akan memberikan impak positif terhadap perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor murid kita serta memberi kepuasana maksima dalam diri dan kerjaya kita. Rakan-rakan yang saya hormati sekalian, apabila saya mengatakan ini, saya sebenarnya turut mengingatkan diri saya. Kerana saya belum menemukan titik kepuasan sebenar dalam kerjaya saya. Ya memang benar kita mencapai kejayaan-kejayaan yang boleh kita banggakan, tetapai saya merasakan masih belum cukuplagi. Saya harus lebih berusaha lagi, dan saya mengharapkan rakan-rakan seperjuangan juga demikian. Namun akhirnya yang kita harapkan ialah, kita adalah antara jutaan anak-anak Malaysia yang berkhidmat dan memastikan kelangsungan Kemerdekaan Malaysia yang tercinta ini.

Sekali lagi, SELAMAT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-53....TAHNIAH NEGARAKU!!

Terima kasih.

TSAU BIN MAIDIN
Guru Besar SK Obah Beluran 





Isnin, 30 Ogos 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN..

Assalamualikum dan Salam 1 Malaysia kepada semua pembaca. Alhamdulillah syukur kita kerana telah berjaya mengecap Kemerdekaan selama 53 tahun. Seharusnyalah kita mensyukuri nikmat kemerdekaan ini dengan bersama-sama kita bekerjasama dalam 1 gagasan secara padu bagi merealisasikan gagasan 1 Malaysia dalam Menjana Transformasi. Semoga kita dapat mengubah sesuatu kepada yang lebih baik.

Sabtu, 28 Ogos 2010

Selamat Datang

Selamat datang ke laman blog SK Obah. Terciptanya blog ini adalah kerana sekolah telah kehilangan tapak laman webnya selepas laman web ppdbeluran.com telah bertukar kepada ppdbeluran.net. Oleh itu semua sekolah yang berpaut di bawah ppdbeluran.com telah dihapuskan. Oleh kerana desakan komunikasi yang mencabar di kawasan sekolah, maka alternatif blog ini telah dipilih sebagai penghubung sekolah dengan dunia luar.